10 bulan bukanlah satu tempoh masa yang cukup untuk menjadi seorang guru yang terbaik. Namun tempoh itu telah memberikan dan mengajar saya apa yang dimaksudkan dengan dunia pendidikan. Dalam tempoh 10 bulan telah meninggalkan 1001 kenangan dan pengajaran khususnya dari aspek kurikulum dank ko-kurikulum dalam diri sebagai seorang pendidik. Sekiranya dilihat dari aspek kurikulum, terdapat beberapa subjek yang berkaitan telah diajarkan secara terpisah. Contohnya, psikologi pendidikan, pentaksiran, penaksiran, kajian tindakan, sukan, falsafah pendidikan, teknologi, sekolah dan masyarakat, dan beberapa subjek lain. Biar pun subjek-subjek tersebut diajarkan secara terpisah, namun ilmu-ilmu tersebut saling berkaitan dan sangat membantu saya semasa menyelesaikan tugasan dan juga semasa praktikum. Semasa menyelesaikan sesuatu tugasan, saya tidak hanya terikat dengan ilmu-ilmu yang diajarkan dalam subjek tersebut. Sebaliknya saya juga perlu menghubungkaitankan dengan ilmu-ilmu dalam subjek lain bagi menghasilkan satu hasil tugasan yang terbaik. Begitu juga sepanjang tempoh latihan mengajar saya. segala ilmu dan teori-teori yang telah dipelajari telah diintergrasikan dan diaplikasikan dengan baik. Sebagai contohnya, dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran saya telah memilih, mengingtergasikan teori, kaedah dan teknologi yang sesuai dengan tahap dan keperluan para pelajar saya. Intergrasi ilmu adalah sangat membantu dalam sesuatu tugasan dan pengajaran. Saya perlu lebih belajar agar dapat mengaplikasikan dan mengintergrasikan ilmu yang telah dipelajari secara maksimum.
Begitu juga dari aspek ko-kurikulum. Saya juga telah banyak belajar dalam tempoh tersebut. Terdapat pelbagai aktiviti ko-kurikulum yang telah dijalankan dalam tempoh 10 bulan berada dalam DPLI,UKM. Saya dapat merasakan perubahan yang berlaku dalam diri saya sendiri, sama ada dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial, dan intelek. Jika dilihat dari aspek jasmani, saya merasakan saya mampu menjadi seorang guru yang lebih berdisiplin dalam mengajar tubuh badan saya untuk bergerak pada waktu yang telah ditetapkan. Dari aspek emosi, saya mengakui bahawa saya menjadi seorang yang lebih sabar dan tabah dalam menghadapi sesuatu perkara. Sifat sabar dan tabah ini secara tidak langsung dapat membendung sifat mudah putus asa dalam diri saya. Saya lebih yakin dalam setiap yang saya lakukan dan tidak lagi terburu-buru dan terlalu mengikut emosi semata-mata. Perubahan ini adalah baik untuk menjadi seorang guru, kerana guru akan berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar dan kesabaran yang tinggi adalah salah satu nilai yang perlu ada dalam diri saya untuk menjadi seorang guru yang akan mendidik para pelajar bekeperluan khas yang memerlukan kesabaran dan ketabahan yang tinggi. Selain itu, saya juga dapat memupuk sifat kerohanian dalam diri saya, iaitu saya dapat belajar untuk lebih menghormati keperluan orang lain dan melawan sifat hasad dengki melalui kerjasama dalam aktiviti kumpulan yang diadakan sepanjang tempoh 10 bulan saya berada di DPLI,UKM. Keadaaan ini secara tidak langsung dapat menyuburkan lagi sikap sedia berkhidmat dalam mendidik pelajar-pelajar bekeperluan khas. Begitu juga dari aspek intelek. Unsur intelek yang diterapkan dalam program ini bukan sahaja dapat mendedahkan saya dengan dunia pendidikan tetapi juga menggalakkan saya berfikir secara kritis dan kreatif dalam sesuatu perkara berlandaskan segala ilmu-ilmu yang telah dipelajari. Manakala jika dilihat dari aspek sosial saya juga merasakannya semakin baik. Saya dapat bekerjasama dan saling bantu menbantu antara sesama kami dengan baik. Secara keseluruhan, selain berpeluang mencapai cita-cita sebagai seorang guru, saya juga dapat mendidik fizikal dan jiwa saya agar benar-benar menjadi seorang insan yang bergelar guru.